SUNGAI SIPUT: Kehilangan misteri tiga kanak-kanak lelaki sejak Sabtu lalu terjawab apabila mangsa yang dijumpai selamat mengaku ‘mengembara’ menaiki basikal sejauh lebih 30 kilometer untuk mandi di air terjun serta berjalan-jalan di sebuah pusat beli-belah di Jelapang, Ipoh, di sini.
Tiga kanak-kanak itu, P Muganasundram, S Vijay dan Muhamad Nazir Hussen masing-masing berusia 12 tahun turut memberitahu tidur di kaki lima sebuah stesen minyak selepas bimbang ditahan polis.
Ketiga-tiga pelajar Sekolah Kebangsaan Muhibbah, di sini, mencetuskan panik ibu bapa dan pihak sekolah selepas dilaporkan hilang sejurus keluar dari rumah mereka di Taman Lintang, di sini, jam 7 pagi Sabtu lalu, sebelum ditemui semula kira-kira jam 7 malam kelmarin.
Mereka mendakwa mahu pergi ke sekolah bagi menghadiri kelas tambahan bagaimanapun tidak pulang ke rumah hingga lewat malam sebelum ahli keluarga membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Siput berikutan bimbang pelajar itu menjadi mangsa culik.
Muhamad Nazir yang ditemui di rumah keluarganya di sini, semalam, mengakui kesal dengan tindakan dia dan dua rakan lain menipu ahli keluarga kononnya mahu menghadiri kelas tambahan di sekolah.
Pelajar tahun enam itu berkata, mereka sebaliknya mengayuh basikal menuju ke kawasan air terjun Ulu Chepor di Chemor yang terletak kira-kira 20 kilometer dari rumah mereka.
“Kami kemudian menyambung semula perjalanan dengan mengayuh basikal ke pusat beli-belah Mydin di Jelapang. Kami teruja untuk pergi berjalan-jalan ke pusat beli-belah itu berikutan ia baru dibuka,” katanya.
“Kami menghabiskan masa di pusat beli-belah itu sebelum menyedari hari sudah malam. Ketika itu kami yakin keluarga pasti risau dengan kehilangan kami dan mereka pasti mencari.
“Bimbang untuk pulang pada malam itu kerana khuatir ditahan polis yang membuat sekatan di jalan raya. Kami tidur di kaki lima sebuah stesen minyak di Ipoh,” katanya.
Sementara itu, Muganasundram berkata, mereka kemudian mengambil keputusan mengayuh pulang pada tengah hari Ahad lalu sebelum ditahan seorang sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang menjejaki mereka.
“Kami kemudian diserahkan ke balai polis berhampiran sebelum perkara itu dimaklumkan kepada ibu bapa kami,” katanya kesal.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim, mengesahkan ketiga-tiga kanak-kanak itu sudah kembali kepada keluarga malam kelmarin selepas keterangan diambil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan