Ahad, 10 Jun 2012

Rahsia kipas tangan Sepanyol Terungkap.Baca!

  Akak Muhammad       Ahad, 10 Jun 2012

SARAH tidak menyangka fungsi kipas tangan lebih daripada sekadar untuk menyejukkan badan malah alat itu dapat melahirkan pernyataan cinta.

MENGGUNAKAN kipas tangan merupakan cara yang mudah dan murah untuk menyejukkan badan. Bagaimanapun, di Sepanyol terdapat tradisi yang unik melibatkan alat itu.

Menurut seorang pembuat kipas tangan tradisional berkenaan, Vincent Benlloch, 55, kipas tangan sering digunakan sebagai simbol atau isyarat untuk menunjukkan sesuatu tanpa perlu berkata-kata.

"Isyarat kipas itu akan lebih ketara jika ia dibuat oleh seorang wanita. Ia umpama bahasa badan yang memberi maksud si wanita tadi sudah mempunyai pasangan atau belum," kata Vincent yang berasal dari Valencia, Sepanyol.

Vincent yang ditemui di Kuala Lumpur minggu ini mewarisi kemahiran membuat kipas tangan daripada nenek moyangnya.

Lelaki itu dan abangnya, Jose, 55, sering mengembara ke bandar raya utama dunia untuk mempromosikan kraf tangan Sepanyol itu.

Vincent berkata, walaupun kipas tangan terkenal di China, Korea dan Jepun sebagai instrumen untuk tarian, kisah kipas tangan masyarakat Sepanyol pada kurun ke-17 dan 18 juga tidak kurang hebatnya.

Corak kipas tangan Sepanyol mempunyai pengaruh Asia Barat dan China sebelum diserapi budaya tempatan, manakala tradisi isyarat kipas itu dikatakan bermula selepas penghijrahan penduduk Afrika Utara ke Sepanyol yang kemudian berkahwin dengan penduduk tempatan.

Pergerakan kipas tangan serta lenggok badan itu turut bertujuan untuk melindungi isteri dan anak mereka.

Menutupi mulut

"Namun, tradisi yang digelar abanico itu lebih popular bagi menandakan sama ada wanita Sepanyol itu sudah berpunya atau belum. Sebagai contoh, jika mereka memegang kipas dalam keadaan tertutup itu bermakna mereka ingin dicium.

"Jika kipas dibuka pada pergelangan tangan kiri bermaksud wanita itu enggan berkenalan dengan lelaki yang cuba memikat," ujarnya.

Merancakkan cerita, Vincent memberitahu, kalau si wanita membuka kipas itu dan meletakkannya di pipi kanan bererti dia mencintai seseorang.

"Malangnya, tradisi itu telah lama ditinggalkan. Jika tidak mungkin itu pendekatan yang akan saya gunakan untuk memikat isteri," katanya ketawa.

Tutur Vincent, tradisi itu tidak terhad pada wanita yang masih bujang dan muda bahkan meliputi mereka yang sudah berumur atau telah bercerai.

"Sebagai contoh, jika wanita itu menggerakkan kipas secara perlahan-lahan di dadanya bermaksud dia belum menjadi kepunyaan orang.

"Tetapi sekiranya dia telah berpunya atau bersuami, kipas akan digerakkan dengan laju di dadanya, jadi lebih baik anda jangan menghampirinya," ujarnya.

Jelasnya, sekiranya pasangan atau suami wanita itu berlaku curang, kipas itu akan diletakkan di muncung hidungnya.

"Malah, kalau mahu membuat janji temu sekali pun, alat itu hanya perlu ditunjukkan pada taman atau lokasi pertemuan.

"Saat paling indah ialah jika kipas tangan itu dibuka menutupi mulutnya sambil memandang lelaki di hadapan dengan cara menggoda. Itu bermakna dia bersedia untuk menjadi teman hidup lelaki tersebut," ujar Vincent.

Beliau menjelaskan, terdapat lebih 100 isyarat kipas tangan semasa zaman kegemilangannya.

Seperti tidak sabar untuk berbicara, abang Vincent, Jose mencelah dengan mengatakan walaupun tradisi itu tidak lagi diamalkan, alat itu sering dijadikan hadiah perkahwinan atau cenderamata untuk majlis tertentu.

Tarian

Bercerita mengenai corak pada daun kipas pula, Jose memberitahu ia sama seperti kipas buatan China, Korea dan Jepun yang menggunakan motif alam semula jadi, haiwan dan bunga-bungaan.

"Cuma kami menggunakan kayu oak untuk kipas yang lebih lembut dan kain sutera yang lebih licin. Kebanyakan kipas Sepanyol ada dijual di Itali, Perancis dan Jerman," ujarnya.

Jose menambah, kini tarian flamenco yang merupakan tarian tradisi Sepanyol turut menggunakan kipas itu.

"Tarian flamenco mementingkan alunan muzik yang rancak dan gerak tari yang bertenaga.

"Kebiasaannya, bilangan peserta persembahan tidak dihadkan asalkan mereka mempunyai penyanyi, pemetik gitar, penari dan pemain sejenis alat tradisional Sepanyol iaitu palmas," katanya.

Bagi Sarah Clouet, 22, yang berasal dari Paris, Perancis tetapi telah lama menetap di Madrid, Sepanyol, dia tidak menyangka kipas tangan bukan sekadar berfungsi untuk menyejukkan badan bahkan mempunyai maksud tertentu.

"Jika saya mengetahuinya saya akan meminta teman lelaki supaya belajar erti isyarat tersebut untuk saya praktikkan. Sayang rasanya kalau ia pupus begitu sahaja. Perlu ada usaha untuk mengembalikannya," ujarnya.
logoblog

Thanks for reading Rahsia kipas tangan Sepanyol Terungkap.Baca!

Previous
« Prev Post

Tiada ulasan: